Assalamualaikum dears,
Bila kita timbulkan persoalan, "Awak ikhlas ke berkawan dengan saya?", mesti kita akan jawab,"Tentulah."
Mustahil kita akan cakap sebaliknya kan?
Kononnya hendak menjaga perasaan saudara-mara/kawan/pasangan kita. Namun, kelakuan, tindak-tanduk dan percakapan di luar sedar kita tidak selari dengan kenyataan keihlasan sebelum ni. Dalam hendak menjaga perasaan supaya tiada orang terluka, kita sebenarnya melukai hati orang lain. Nauzubillah~
Kalau kita suka atau sayang dengan saudara-mara/kawan/pasangan kita, mestilah kita mahu buat yang terbaik untuk mereka. Sebab kita mahu mereka bahagia dan gembira sentiasa. Kalau boleh, tidak mahu ada riak duka di wajah mereka apatah lagi ada titisan air mata jatuh dari mata mereka yang cantik. Kalau boleh, biarlah kesakitan dan kesusahan mereka itu kita yang tanggung asalkan mereka bahagia.
Tapi kita lupa, kita manusia biasa. Allah ciptakan manusia penuh dengan perasaan dan setiap perasaan ada lawannya. Allah bagi perasaan sayang dan kasih. Lawannya Allah bagi perasaan benci. Allah bagi kita rasa gembira, dan Allah juga bagi kita sedih. Allah bagi kita marah tetapi Allah bagi kita sabar. Kita tidak mampu mengelak perasaan ini kerana kita manusia yang lemah. Kadang-kadang kita rasa sangat terbeban dengan perasaan kecewa, sedih, marah sehingga kita lupa sebenarnya perasaan itu Allah kurniakan kepada kita untuk kita pelajari sesuatu.
Allah tidak akan membebani hamba-hambaNya melainkan apa yang termampu dihadapi oleh mereka. Sebagaimana firmannya yang bermaksud
Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…. (al-Baqarah 286)
Mengukur nilai persahabatan bukanlah mudah. Bolehkan mengukur nilai persahabatan kerana kita merasakan mereka sekepala dengan kita? Adakah kita bersahabat kerana teman itu baik rupa parasnya? Adakah kita bersahabat kerana kekayaan kawan kita atau kebaikannya atau keimanannya kepada Allah Taala atau kegemarannya menonton wayang, melepak di kedai kopi sampai jam 2 3 pagi atau kerana sayangnya dia kepada binatang atau atas ukuran apa sebenarnya? Siapa ada jawapannya?
Kadang-kadang kawan yang kita sangkakan baik itu sebenarnya punya hasad dengki terhadap kita. Kadang-kadang-kadang kawan yang kita suka itu sebenarnya tidak suka berkawan dengan kita. Kadang-kadang dalam sesetengah perkara yang kawan kita lakukan, kita tidak menyukainya dan mereka juga tidak menyukai perkara yang kita lakukan. Kita tidak mampu untuk menjadi mereka dan mereka tidak mampu untuk menjadi diri kita kerana setiap kita berbeza seperti berbezanya cap jari kita.
Manusia fitrahnya menyukai apabila setiap perkara dan perlakuan mengikut kehendaknya. Apabila sesuatu bertentangan dengan kehendaknya, maka konflik akan berlaku. Manusia akan mula bergaduh, bermusuh, berdendam dan perasaan tidak suka dan tidak puas hati akan mula timbul. Dan silaturrahim mulai terlerai tanpa kita sedari. Mula-mula berdiam diri, kemudian tidak bertegur sapa, kemudian tidak pernah bertanya khabar dan akhirnya terputus hubungan. Maka bersoraklah syaitan kerana berjaya memutuskan satu lagi tali persaudaraan.
Setiap manusia punya ego. Yang membezakan setiap manusia adalah bagaimana mereka menguruskan ego mereka. Salahkah kita menerima teguran dari sahabat kita? Sedarkah kita bahawa mereka mengumpul kekuatan untuk menegur kita kerana mereka menyayangi kita? Tahukah kita betapa susah hati mereka jika kita sering terleka dan berbuat silap? Mungkin teguran yang diberi tidak menggembirakan hati kita. Tetapi ambillah masa sejenak. Berfikirlah dengan mata hati. Tidak salah kan? Tetapi kita sering takut untuk mengakui kesalahan sendiri. Sehingga sanggup mengorbankan nilai persahabatan.
“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah maha mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (Al Baqarah: 216)
Marilah kita berfikir dan muhasabah diri. Nukilan ini adalah karya sendiri.
Notahati: Saya mohon maaf kepada awak. Saya mungkin tersalah cakap menyebabkan awak sekarang berdiam diri. Kalau persahabatan kita sampai di sini sahaja, saya ucapkan terima kasih atas segala-galanya. Mungkin kita tiada jodoh untuk terus bersilaturrahim. Terima kasih Allah kerana mengirimkan awak walaupun sekejap kepada saya. Semoga Allah sentiasa menjaga awak kerana saya menyayangi awak dari hari pertama awak mengucapkan salam.
@>----- Thanks for reading this entry!! (*_^)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Please leave ur comments wisely =)