Allah beri bermacam-macam kebaikan di dunia buat hamba-hamba yang dikehendaki-Nya. Dan segala kebaikan itu pula bermanfaat untuk akhirat mereka.
Bagaimana kita hendak tahu kita telah mendapat kebaikan di dunia atau tidak?
Ulama-ulama dahulu termasuk Ibnu Katsir, telah menyenaraikan apa itu kebaikan di dunia di dalam kitab-kitab mereka.
Ada juga ulama mengatakan kebaikan di dunia itu meliputi tiga perkara iaitu hati yang bersyukur, lidah yang berzikir dan tubuh badan yang sabar (dalam menanggung ujian Allah).
Tiga perkara ini terkandung dalam doa yang diamalkan oleh Nabi s.a.w.Senarai kebaikan di dunia oleh ulama-ulama ini bukan hanya dilihat pada perkara-perkara lahir yang dapat dipandang mata tetapi juga perkara-perkara batin yang dapat dirasai oleh hati. Perkara-perkara itu adalah pokok-pokok kebaikan di dunia.
1. Mendapat taufik dan hidayah Allah s.w.t.Orang yang mendapat taufik dan hidayah ertinya dia seorang yang dibantu oleh Allah untuk mengamalkan Islam. Islam bererti "selamat". Orang Islam kalau kekal mendapat taufik dan hidayah dari Allah, akan selamat di dunia dan akhirat. Sabda Nabi s.a.w.: "Sungguh beruntung orang yang beragama Islam…" (Riwayat Muslim)
2. Diberi kefahaman dalam agamaUntuk amalkan Islam perlukan kefahaman. Siapa yang diberi kefahaman tentang Islam juga dikira telah mendapat kebaikan di dunia. Orang Islam yang tidak diberi kefahaman tentang Islam oleh Allah akan mengamalkan apa yang disangkanya dari ajaran Islam tetapi sebenarnya menyeleweng dari Islam. Hidupnya tak akan benar-benar selamat dan tak mampu menyelamatkan orang lain. Sabda Nabi s.a.w.: "Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
3. Dapat berbuat amalan solehDengan kefahaman agama yang Allah beri, seseorang itu dapat berbuat amal soleh. Ini juga merupakan kebaikan di dunia kerana hidup akan terisi perkara baik dan tidak terumbang-ambing. Firman Allah: "… Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperolehi ‘hasanah’ (kebaikan). Dan bumi Allah itu adalah luas…" (Az-Zumar: 10)
4. Mendapat ilmu yang bermanfaatIlmu yang bermanfaat adalah panduan untuk mengisi hidup dengan perkara-perkara baik dan selamat. Sebab itu Nabi s.a.w. berdoa: "Ya Allah ya Tuhanku, berikanlah manfaat kepadaku dari apa-apa Engkau ajarkan kepadaku dan ajarkan daku apa-apa yang bermanfaat buat diriku." (Riwayat at-Tabrani)
5. Mendapat isteri/suami yang soleh/solehahKebahagiaan hidup adalah perkara yang semua orang impikan. Kebahagiaan selalunya bermula di rumah. Siapa yang mendapat pasangan hidup yang baik patut bersyukur kerana di situlah tanda kebahagiaannya. Isteri atau suami yang baik ini juga membantu seseorang mendekatkan diri kepada Allah. Itulah antara kebaikan di dunia buatnya.
Sabda Nabi s.a.w.: "Empat dari tanda-tanda kebahagiaan seseorang: Isterinya solehah, anak-anaknya abrar (soleh), teman-temannya orang soleh dan sumber rezekinya di negerinya sendiri."
(Riwayat ad-Dailami dari Ali r.a.)
Namun ada juga orang yang Allah beri kebaikan walaupun tidak mendapat pasangan hidup yang soleh atau solehah. Buat mereka Allah kurniakan pahala sabar dalam mendidik atau sabar dalam menghadapi kerenah pasangannya.
6. Mendapat zuriat penyejuk hatiBetapa sejuknya hati kalau anak-anak taat, hormat dan tahu berbakti. Tanpa tiga perkara ini, tidak ada erti kepandaian, kedudukan dan jawatan tinggi yang dibangga-banggakan pada anak. Anak yang baik akan terus memberi manfaat setelah kematian kita. Pahala amalan baiknya hasil didikan kita terus mengalir kepada kita dan kita juga menerima kebaikan dari doa mereka.
7. Mendapat kawan-kawan yang solihinPerkara ini juga disebut dalam hadis sebagai tanda kebahagiaan. Kawan yang baik akan tegur kesalahan kita dan mengajak kita buat baik. Kawan yang soleh atau solehah ini akan bawa kita ke jalan hidup selamat. Mereka tempat berkongsi masalah dan kegagalan, bukan hanya berkongsi senang dan kejayaan.
8. Kesihatan dan kesejahteraanDengan kesihatan yang baik, banyak perkara dapat dilakukan dalam hidup ini. Orang Mukmin memanfaatkan kesihatan untuk buat sebanyak mungkin kebaikan sebelum datangnya sakit. Kesihatan juga sering dikaitkan dengan kesejahteraan hidup. Nabi s.a.w. memohon: "Ya Allah, ‘afiatkanlah tubuh badanku dan ‘afiatkanlah pendengaranku."
(Riwayat Ibnu Syaibah)
9. Panjang umur di dalam ketaatanHampir setiap orang mahu hidup lama, kecuali orang yang putus asa dengan hidup. Paling baik kalau dapat panjang umur sambil berbuat ketaatan kepada Allah. Sabda Nabi s.a.w.: "Sesungguhnya sehabis-habis kebahagiaan itu ialah panjang umur di dalam mentaati Allah."
(Riwayat Khotib daripada Abdullah dari bapanya)
10. Mendapat rezeki yang halalNabi s.a.w. menekankan agar umatnya berusaha mendapatkan rezeki halal kerana ia akan memberkatkan hidup. Dalam satu hadis, baginda mengatakan bahawa mencari rezeki yang halal itu satu jihad. Malah sabdanya: "Amalan yang paling utama itu ialah mencari rezeki dari usaha yang halal." (Riwayat al-Hakim)
11. Beroleh keimanan dan ketakwaanDengan iman dan takwa, seseorang itu mulia di sisi Allah dan di sisi manusia. Siapa yang tak sukakan kemuliaan? Sabda Nabi s.a.w.: "Semulia-mulia manusia adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Baginda juga bersabda:"Hendaklah kamu bertakwa, kerana ia merangkumi semua kebaikan." (Riwayat Abu Ya’ala)
12. Banyak mengingati Allah s.w.t.Nikmat paling besar yang manusia cari-cari dalam hidup ialah nikmat ketenangan. Orang Mukmin adalah orang yang hidupnya penuh ketenangan. Firman-Nya: "Sesungguhnya dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang." (Ar-Ra’ad: 28)
Sabda Nabi s.a.w.: "Aku berpesan kepada kamu semua supaya mengingati Allah, kerana hal itu dapat menghiburkan hati kamu dari segala kesulitan duniawi."
(Riwayat ad-Dailami)
13. Berjaya menyucikan jiwa dari mazmumahHidup tak akan tenang jika hati penuh hasad dengki, tamak, takut, benci, keluh-kesah dan lain-lain sifat mazmumah. Tidak hairanlah dikatakan, orang yang bersih hatinya dari sifat mazmumah ini adalah orang yang mendapat kebaikan di dunia. Bila menghadapi musibah, dia sabar dan bersangka baik dengan Allah.
Firman Allah Taala: "Sesungguhnya berjaya dan beruntunglah orang yang menyuci (membersihkan) jiwanya." (Al-A’la: 14)
14. Mati di dalam kebaikan (Husnul Khotimah)Ini merupakan penutup segala kebaikan di dunia. Firman Allah s.w.t.: "….demikianlah Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertaqwa, (iaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka) Salamun ‘Alaikum." (An-Nahl: 32)
Sabda Nabi s.a.w.: "Sebaik-baik amalan itu ialah bahawa kamu berpisah dengan dunia ini sedangkan lidahmu basah berzikir kepada Allah." (Riwayat Abu Na’im)Kebaikan di dunia itu sebenarnya milik hamba-hamba Allah yang taat – hamba yang lebih utamakan akhirat dari dunia. Dalam surah an-Nahl ayat 122 dinyatakan bahawa Allah telah mengurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s. hasanah (kebaikan) di atas kehidupan dunia. Ayat ini menjadi dalil bahawa ada kebaikan duniawi yang Allah akan beri kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki. Walaupun mengutamakan akhirat, Allah akan dahulukan bermacam-macam kebaikan buat mereka di dunia lagi. Dan segala kebaikan itu pula bermanfaat untuk akhirat mereka.
SUMBER:
www.galeriilmu.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Please leave ur comments wisely =)